Sunday, December 26, 2010

Satu Permulaan


Memang tidak dinafikan lagi seawal bangkitnya kita dari mimpi di malam hari, kita akan tempuh sebuah kehidupan yang baru atau mungkin kebarangkalian kita akan peroleh sesuatu yang baru keesokan harinya. Ilmu, kawan-kawan, rezeki mahupun bala bencana pasti kita akan perolehnya. Ada yang kata " hidup ini ibarat roda, kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang kita di bawah ". Namun sedar atau tidak sedar, itu bukan menjadi permasalahannya. Tetapi apa yang penting adalah persediaan kita untuk menghadapinya. Seringkali persoalan-persoalan yang kita tidak jangkakan akan datang dengan tiba-tiba. Sudah bersediakah kita untuk menjalani hari yang bakal tiba? Apakah yang akan kita lakukan dalam usaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam diri yang serba kerdil ini? Bagaimanakah caranya?

Ada satu perkara yang amat penting perlu kita ingat tidak kira kita berada dalam kesenangan mahupun kesusahan..."ALLAH". Itulah permulaan kita, Dia yang menciptakan kita dan meniup roh ke dalam jasad supaya kita boleh hidup sebagai khalifah di muka bumi ini. Menggunakan sebaik-baiknya segala sumber yang telah dikuniakan olehNya kepada kita. Tetapi sayang, kita telah lupa kepadaNya. Apabila senang, kita lalai untuk beribadah kepadanya. Kita lupa, kita terlalu alpa dengan kemewahan dunia yang kita agung-agungkan. Al-Quran yang ada hanyalah sebagai hiasan seolah-olah artifak lama yang hanya untuk dilihat dan bukan untuk dibaca. Masjid yang tersergam indah di depan mata hanyalah sekadar mercu tanda bahawa negara kita masih bercirikan Islam. Malangnya dalam masa yang sama unsur-unsur sekularisme semakin hari semakin menghantui pemikiran generasi muda sedangkan merekalah pelapis generasi akan datang.  Walaupun masih ada segelintir yang masih mengingati Tuhan, kenapa mereka membiarkan sahaja perkara ini berlaku? Kenapa mereka mendiamkan diri? Kenapa tidak dibantu mereka yang jauh terlajak dari landasan kebenaran?
Jika kita sudah menyedarinya, ayuh bangkit dengan segera. Andai semalam kita melakukan dosa, tidak semestinya hari ini kita akan terus bergelumang dengan dosa. Andai semalam kita melakukan maksiat, ingatlah hari ini kita penuhkan dengan ibadah dan amalan. Kita teruskan sehingga esok dan hari-hari yang bakal menjelang. Jika jauh di dalam hati sanubari ini kita sudah menyedari kesilapan ini. Maka itu adalah SATU PERMULAAN untuk kita terus perbaiki diri.




2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...